Sunday 18 September 2011

19 maut gempa bumi 6.9 magnitud di India, Nepal


GUWAHATI: Gempa bumi kuat berukuran 6.9 magnitud menggegarkan timur laut India petang semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 19 orang maut termasuk tiga yang tertimbus dalam runtuhan bangunan di Kedutaan Britain di Nepal. 

Gempa bumi itu dirasai hampir di semua wilayah selepas ia menggegarkan wilayah di pergunungan Himalaya, Sikkim yang bersempadan dengan Nepal, Bhutan dan Tibet pada kira-kira jam 6.10 petang waktu tempatan.
Pusat gempa ialah kira-kira 60 kilometer barat laut ibu negeri Sikkim, Gangtok dengan kedalaman 19.7 kilometer.
Ketua Setiausaha Wilayah Sikkim, Karma Gyasto, berkata kira-kira 60 orang mengalami kecederaan di sekitar Gangtok akibat tanah runtuh, sisa runtuhan dan bangunan runtuh manakala bandar itu terputus bekalan elektrik. 

"Tiada bekalan elektrik dan semua orang berada di atas jalan raya," kata seorang penduduk. - AFP 


Skirt Punca Rogol...??

SEKUMPULAN wanita bersama sepanduk membantah kenyataan gabenor Jakarta yang mendakwa punca kes rogol disebabkan berpakaian skirt mini.


JAKARTA: Sekumpulan wanita di Indonesia, mengadakan perhimpunan dengan memakai skirt pendek untuk memprotes kenyataan gabenor bandar raya Jakarta, Fauzi Bowo yang menyalahkan pakaian sebagai punca kejadian rogol berkumpulan di bandar raya itu.
Fauzi menggesa wanita supaya tidak memakai skirt pendek ketika menaiki pengangkutan awam di ibu negara selepas seorang wanita berusia 27 tahun diserang di dalam sebuah van mini awam awal bulan ini.
Polis gagal memberkas perogol tetapi mangsa mengesan seorang daripada penyerangnya dua minggu selepas kejadian ketika lelaki yang disyaki memandu kenderaan. 

“Kami berada di sini untuk menyuarakan kemarahan. Gabenor bukan saja tidak memberi hukuman berat kepada perogol, tetapi menyalahkan pakaian wanita pula. Ini diskriminasi,” kata pengendali tunjuk perasaan, Chika Noya kepada AFP. 

Dengan memakai baju dan skirt singkat, wanita itu menunjuk perasaan di bulatan utama di ibu negara sambil memegang sepanduk bantahan bertulis “Jangan ajar kami bagaimana berpakaian, suruh mereka jangan merogol” dan “Skirt mini saya, hak saya” dan “Rogol adalah jenayah berat”. 

Nova berkata, gabenor perlu menjamin keselamatan wanita dalam pengangkutan awam. 
Seorang penunjuk perasaan Dhyta Caturani, yang memakai skirt pendek dan baju terdedah berkata: 

“Cara wanita berpakaian bukan penyebab keganasan seksual,”. 

Bowo memohon maaf kelmarin atas kenyataannya tetapi gagal meyakinkan penunjuk perasaan. 

Polis Jakarta merekodkan peningkatan kes rogol sehingga 41 kes tahun ini sehingga September di bandar dengan jumlah penduduk 12 juta, berbanding 40 kes sepanjang tahun 2010. 

Caturani berkata, tunjuk perasan itu mendapat ilham daripada fenomena Pelacur Jalanan yang bermula di Toronto pada April di mana ratusan wanita dan lelaki mengadakan protes di jalan atas komen yang dibuat polis konstabel yang wanita perlu mengelak daripada memakai pakaian seperti pelacur bagi mengelakkan diri menjadi mangsa. – AFP 




Man United unggul tewaskan Chelsea 3-1



LONDON: Manchester United mempamerkan kelas tersendiri apabila menumpaskan pesaing terdekatnya, Chelsea 3-1 pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, di Old Trafford, awal pagi tadi.



Gol pembukaan United diperoleh seawal minit ke-7 menerusi Chris Smalling diikuti Nani pada minit ke-37.
Penyerang England, Wyane Rooney menambah koleksi jaringan pada minit ke-40 untuk memastikan United mendahului 3-0 selepas tamat separuh masa pertama.
Chelsea memperoleh gol tunggal menerusi penyerang termahal liga, Fernando Torres pada minit ke-46.

Dengan kemenangan itu, Manchester United kekal di tangga teratas liga dengan 13 mata, dua mata di depan Manchester City manakala Chelsea di tempat ketiga dengan 12 mata.