SUNGAI GOLOK (Selatan Thailand): Seorang budak lelaki berusia tiga tahun adalah antara empat rakyat Malaysia terbunuh dalam siri letupan bom terbaru yang disifatkan sebagai terbesar tahun ini di selatan Thailand, malam kelmarin.
Mangsa yang maut dikenali Wong Kai Sean, 3; datuknya, Wong Hong Yep, 64, dan Chan Yau Wing, 52, dari Kelantan manakala Foong Too Keh, 45, dari Pahang.
Setakat petang semalam, 18 rakyat Malaysia antara 60 yang cedera akibat insiden itu. Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Golok dan Hospital Hatyai, Songkla.
Mangsa dua beranak yang maut itu berada di Sungai Golok bersama tiga lagi ahli keluarga manakala Foong pula bersama tiga rakannya, yang masing-masing ketika itu baru selesai makan malam dan minum sebelum letupan itu berlaku.
Turut maut seorang sukarelawan rakyat Thailand berusia 38 tahun akibat disambar api sebuah kereta yang meletup tidak jauh dari tempatnya berada. Mangsa dikatakan membantu orang ramai yang cedera dalam serangan berkenaan.
Ketua Polis Sungai Golok, Kolonel Chakapon Thenthong, berkata kebanyakan mangsa yang cedera ialah rakyat Thailand iaitu orang awam, polis (2), sukarelawan (3) dan tentera (4).
Berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya berlaku siri letupan dengan setiap satunya selang lima minit itu didakwa dilakukan puak pemisah yang turut dikaitkan dengan kegiatan dadah.
Setakat ini, tiga rakyat Malaysia dikenal pasti maut selain seorang sukarelawan yang membantu selepas sebuah kereta meletup, katanya ketika ditemui media Malaysia di Hotel Genting di sini, semalam.
Sementara itu, sumber pejabat konsulat di Songkla menyatakan seorang lagi rakyat Malaysia, Chan Yau Wing, 52, dari Kelantan turut terbunuh.
Katanya, siasatan turut mendapati bom digunakan dalam kejadian itu adalah jenis bom jangka dan bom kawalan yang diletakkan pada tiga motosikal dan sebuah kereta.
Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok, Rusdi Che Omar, berkata letupan pertama berlaku kira-kira jam 7.30 malam waktu Malaysia di depan Pusat Kebudayaan Persatuan Teochew selepas sebuah motosikal diletakkan di depan bangunan itu meletup.
Katanya, selang lima minit, sebutir bom di motosikal berhampiran sebuah hotel meletup sehingga menyebabkan Foong dan seorang lelaki Thailand meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Dalam keadaan orang ramai cemas dan kelam kabut di sepanjang jalan raya berukuran 500 meter itu, satu lagi letupan kuat berlaku di persimpangan masuk jalan berkenaan di depan medan selera sehingga menyebabkan Hong Yep dan cucunya meninggal dunia.
Letupan terakhir daripada sebutir bom diletakkan dalam kereta di depan medan selera, katanya.
Tinjauan di sempadan Malaysia-Thailand semalam mendapati masih ramai rakyat kedua-dua negara itu dan pelancong asing keluar masuk.
wachaaaaaaaaaaa
ReplyDelete