Thursday, 3 November 2011

Najib Nafi Rosmah Beli Barang Kemas di Perth



PM perjelas anak tiada di Australia ketika CHOGM 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan bahawa anak perempuannya berada di Australia manakala isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor membeli barang kemas ketika menghadiri mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) di Perth, baru-baru ini.

Serentak itu, beliau yang kini sedang mengerjakan haji di Makkah meminta orang ramai tidak terpedaya atau terbabit menyebarkan pembohongan berkenaan.

“Jangan percaya atau sebar pembohongan. Malah, anak perempuan saya tidak berada di Australia dan isteri saya (Rosmah) tidak membeli apa pun barang kemas,” kata Najib dalam Twitternya, kelmarin. 

Awal minggu ini, laporan akhbar The West Australian, mendakwa anak gadis Perdana Menteri membelanjakan A$60,000 (RM195,000) ketika membeli-belah di David Jones, antara gedung terbesar di Australia. 

Akhbar Australia itu melaporkan peniaga membuat keuntungan besar apabila seorang wanita pertama yang tidak dinamakan membelanjakan A$150,000 (RM487,000) membeli mutiara Australia Barat, manakala 'anak gadis Najib' membelanjakan A$60,000. 

Laporan itu memetik Pengarah Negeri bagi CHOGM, Richard Muirhead sebagai berkata, aktiviti masa lapang dan membeli-belah diatur untuk perwakilan asing di luar jadual mesyuarat CHOGM yang ketat itu. 

Laporan bertajuk ‘Perwakilan membeli-belah dan bersiar-siar' kemudian disiarkan beberapa portal berita dan laman sosial di negara ini.